JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat apabila seramai 8,221 daripada 2,275 keluarga ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah itu bertambah berbanding 7,965 mangsa daripada 2,201 keluarga pada pukul 9 malam tadi.
“Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas ketika ini dengan seramai 4,730 mangsa dipindahkan ke 26 buah PPS, diikuti Johor Bahru dengan 1,976 mangsa di 12 PPS, manakala Kluang menyaksikan seramai 1,308 mangsa di sembilan PPS, Segamat dengan 99 mangsa di empat PPS, Kulai seramai 86 mangsa di sebuah PPS dan Pontian dengan 22 mangsa di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri memberitahu, banjir di negeri ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa setakat ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran ribut petir di kebanyakan daerah hari ini.
Tiga sungai telah mencapai paras air berbahaya, iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang serta Sungai Kepala Orang dan Sungai Johor di Kota Tinggi.
Ketika ini tujuh laluan telah ditutup sepenuhnya, dengan enam daripadanya di Kota Tinggi, antaranya Jalan Sungai Telor, Jalan Semanggar Dalam, Jalan Kampung Kelantan dan Jalan Mawai Lama, manakala satu laluan di Mersing, iaitu Jalan Tanah Abang. – UTUSAN