JOHOR BAHRU: Walaupun sudah memasuki 2024, kemudahan tandas awam yang disediakan di Larkin Sentral di sini masih berada dalam keadaan kurang bersih dan rosak.
Perkara itu antara diadukan orang ramai khususnya mereka yang sering menggunakan perkhidmatan bas dan teksi di terminal pengangkutan awam utama negeri itu.
Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 35, memberitahu, dia berasa malu apabila mahu menggunakan tandas awam di Larkin Sentral.
“Apabila saya ke sini bersama rakan-rakan atau sanak saudara yang bukan menetap di Johor Bahru, saya berasa malu sekiranya mereka mahu menggunakan tandas.
“Ini kerana walaupun itu merupakan tandas awam yang digunakan ribuan orang setiap hari, namun keadaannya agak memalukan disebabkan kotoran dan kerosakan.
“Bukankah ini merupakan salah satu pintu masuk utama ke Johor yang mana turut digunakan pelancong domestik dan antarabangsa? Jadi, mengapa pihak berwajib tidak mengambil berat soal ini?” soalnya.
Perkara sama turut disuarakan seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammed, 38.
Menurutnya, keadaan kebersihan tandas awam di Larkin Sentral amat menyedihkan, tidak sepadan dengan slogan Johor Bersih dilaungkan kerajaan negeri.
“Saya bukanlah terlalu cerewet orangnya, namun begitu tandas awam perlulah dalam keadaan bersih untuk digunakan orang ramai. Kita boleh faham mungkin yang menyebabkan kekotoran adalah pengguna sendiri tetapi bagaimana pula dengan kualiti kemudahan?
“Pintu tidak boleh dikunci, tiada tempat meletak hos air, tempat duduk tiada penutup malah ada bahagian yang sumbing kerana pecah. Jika keadaan sedemikian, bagaimana pengguna mahu ‘membuang hajat’?
“Di sini ada beberapa kemudahan tandas, namun boleh dikatakan hampir semuanya dalam keadaan kotor atau tidak sempurna. Jika ada jumpa yang elok, itu sudah kira bernasib baik,” katanya yang merupakan seorang pekerja swasta. – UTUSAN