Malaysia kemuka penyerahan lisan di ICJ pada 22 Februari ini - Utusan Malaysia

Malaysia kemuka penyerahan lisan di ICJ pada 22 Februari ini

MOHAMAD Hasan ketika ditemui pemberita selepas hadir ke majlis Kenduri Rakyat DUN Kota di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kota di Rembau hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Malaysia akan terus memainkan peranannya dalam isu kekejaman Israel terhadap Palestin dengan yang terbaharu bakal mengambil bahagian untuk mengemukakan penyerahan lisan pada 22 Februari ini di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai negara yang menyokong kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948, beliau sendiri akan ke ICJ di The Hague, Belanda bagi membawa pendirian Malaysia mengenai perkara itu.

“Malaysia amat mengalu-alukan dan gembira dengan keputusan yang telah dibuat oleh pihak ICJ, semalam yang turut menetapkan enam langkah-langkah sementara terhadap kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948.

“Ini dipanggil langkah sementara, sementara menunggu perbicaraan penuh yang mana Malaysia iaitu saya sendiri akan membuat oral submissions (penyerahan lisan) pada 22 Februari ini nanti di ICJ, The Hague.

“Di ICJ itu nanti, kita akan bawa suara Malaysia kerana kita merupakan negara pertama yang menyokong Afrika Selatan yang bawa kes ini di ICJ,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir ke majlis Kenduri Rakyat DUN Kota di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota di sini hari ini.

ICJ semalam menerusi keputusannya telah mengarahkan Israel segera mengambil langkah iaitu mencegah genosid di Gaza selaras dengan tanggungjawab di bawah Konvensyen Genosid 1948 serta memastikan tentera Israel tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid.

Israel juga diarahkan untuk mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid, membenarkan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.

Selain itu, ICJ turut mengarahkan Israel menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid serta mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil untuk melaksanakan perintah tersebut dalam tempoh satu bulan.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau turut menyifatkan, keputusan ICJ semalam yang memerintahkan Israel untuk mencegah genosid (pemusnahan bangsa) di Gaza, Palestin merupakan satu kemenangan bagi negara-negara yang mahu supaya kekejaman rejim Israel tersebut dihentikan serta-merta.

“Ini juga selaras dgn apa juga langkah dan tindakan yang telah dilakukan Malaysia yang melihat kekejaman di Gaza ini sebagai genosid, Alhamdulillah, saya harap Israel sebagai negara yang menandatangani Konvensyen Genosid 1948 tersebut akur dengan keputusan ICJ ini,” katanya.

Beliau sementara itu turut menyatakan rasa gembira apabila Jerman menerusi Menteri Luarnya iaitu, Annalena Baerbock yang menyatakan bahawa Israel mesti mematuhi keputusan ICJ itu.

“Saya juga amat gembira, membaca kenyataan Menteri Luar Jerman yang mana Jerman ini sekutu terkuat Israel, yang telah minta Israel akur dgn ketetapan sementara ini.

“Ini satu perkembangan amat baik, saya gembira rakan sejawat dari Jerman keluarkan kenyataan yang juga mengalu-alukan langkah-langkag sementara ini,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya