IPOH: Pihak majikan akan dipastikan membayar gaji 13 pekerja warganegara Pakistan di sebuah tapak pembinaan di Kampar yang dikatakan tidak menerima gaji bulanan hampir tiga bulan dan terputus bekalan makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, isu tersebut melibatkan pekerja kontraktor utama dan subkontraktor.
Jelasnya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah ke lokasi pekerja warga Pakistan itu di Kampung Changkat Tualang dekat Kampar dan meminta majikan menyelesaikan tunggakan gaji.
“Kita akan pastikan segala tunggakan dibayar. Setiap majikan terlibat kena ambil tanggungjawab dan boleh diambil tindakan mengikut perundangan jika degil,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini mengenai pemberian faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada keluarga pengawal keselamatan yang dipercayai dibunuh baru-baru ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Perak Mohd. Azlan Helmi dalam hantaran Facebook berkongsi keadaan 13 pekerja warga Pakistan di Kampar yang dikatakan tidak menerima gaji hampir tiga bulan.
Menurut Mohd Azlan, beliau menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai nasib pekerja warga asing itu yang bekerja di sebuah tapak pembinaan.
Kata Mohd. Azlan, pusat khidmatnya juga telah menyalurkan bantuan makanan asas kepada pekerja terlibat. – UTUSAN