KLANG: Aktivis sosial, Mohd. Alif Syamrin Abdullah, 60, yang banyak menyumbang tenaga membantu penduduk dan petugas di Parlimen Kapar ketika pandemik Covid-19, tiga tahun lalu, ingin menyerahkan emblem atau lambang kecemerlangan tertinggi tentera marin Amerika Syarikat (AS) miliknya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, hasrat itu timbul setelah merasakan dirinya semakin uzur sejak disahkan menghidap sakit jantung, lima tahun lalu.
“Lambang ini saya terima kerana pengiktirafan atas khidmat cemerlang saya sebagai pemandu peribadi kepada pegawai tertinggi tentera marin AS, Mejar Jenderal Richard L. Simcock II semasa lawatan beliau ke negara ini lapan tahun lalu,” katanya di sini.
Mohd.Alif berkata, difahamkan dia adalah penerima keempat lambang tersebut di seluruh dunia dan merasakan ia berbaloi untuk diserahkan kepada kerajaan.
Jelasnya lagi, harapan kini hanya satu iaitu Perdana Menteri sudi menerima lambang tersebut sebelum dirinya menghembuskan nafas terakhir. – UTUSAN