Mahkamah Rayuan batalkan pengislaman tiga beradik - Utusan Malaysia

Mahkamah Rayuan batalkan pengislaman tiga beradik

Ibu tunggal, Loh Siew Hong dan peguamnya, J. Gunamalar ketika hadir untuk pendengaran rayuan berhubung status pengislaman tiga anaknya yang ditukar agama secara unilateral di Mahkamah Rayuan, Putrajaya Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi memutuskan bahawa pengislaman tiga kanak-kanak yang dibuat secara unilateral (sebelah pihak) oleh bapa mereka tanpa kebenaran bekas isterinya tidak sah dan terbatal.

Dengan keputusan tersebut, agama bagi pasangan kembar yang kini berusia 16 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun kekal sebagai Hindu.

Ketika ditukar agama, anak-anak tersebut masing-masing berusia 11 dan sembilan tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail dan bersidang bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli sebulat suara memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila gagal mengambil kira dua isu utama.

“Kegagalan untuk menjawab dua isu ini adalah satu salah arah yang jelas menjurus kepada kesilapan dalam undang-undang berhubung isu tukar agama secara unilateral,”kata Hakim Hadhariah.

Panel terbabit memutuskan demikian berhubung rayuan ibu tunggal, Loh Siew Hong terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei 2023 yang mengekalkan status Islam tiga anak mereka yang ditukar agamanya oleh bekas suaminya, M. Nagahswaran atau nama Islamnya, Muhammad Nagashwaran Muniandy tanpa persetujuannya.

Pada 11 Mei 2023, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian selepas mendapati ketiga-tiga anak Siew Hong masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat walaupun berada dalam jagaan ibu mereka.

JAGAAN

Wanita terbabit memperoleh semula jagaan bagi ketiga-tiga anak tersebut selepas Mahkamah Tinggi berbeza membenarkan permohonan habes corpus yang difailkannya agar tiga beradik tersebut yang pada ketika itu berada di bawah jagaan persendirian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dikembalikan kepada Siew Hong serta-merta.

Wanita itu mempertikai pengislaman anak-anaknya yang dibuat oleh bekas suaminya, Nagahswaran secara sebelah pihak dan tindakan lelaki itu mendaftarkan anak-anak mereka sebagai muslim tanpa persetujuannya pada 7 Julai 2020.

Media sebelum ini melapor bahawa bahawa Nagahswaran yang telah memeluk agama Islam telah menukar agama anak-anak mereka pada Julai 2020 selepas berpisah dengan Siew Hong pada Mac 2019. Pasangan itu sah bercerai sekitar 2021.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN