TENOM: Mahkamah bertukar ‘panas’ apabila peguam mewakili pendakwah terkenal, Ebit Lew memohon untuk melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi kelapan pada perbicaraan akan datang.
Peguam, Datuk Ram Singh memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan perlu mendapatkan laporan daripada LGMS terlebih dahulu kerana sumber analisis yang digunakan adalah daripada LGMS.
“Ini laporan LGMS maka, kami mahu penglibatan mereka sebagai pakar untuk menjawab keterangan yang diberikan Inspektor Yip.
“Kami betul-betul memerlukan laporan daripada LGMS. Saya akan mengemukakan laporan tersebut. Laporan itu akan siap pada perbicaraan yang akan datang,” katanya semasa perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew di Mahkamah Majistret, hari ini.
LGMS adalah sebuah syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan siber profesional yang menganalisis data digital.
Permintaan peguam itu bagaimanapun dibantah oleh pihak pendakwaan yang mahu pemeriksaan balas diteruskan pada perbicaraan esok.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Zahida Zakaria masing-masing memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan membantah sekiranya pemeriksaan balas dilakukan pada perbicaraan yang akan datang.
Zahida memberitahu mahkamah tarikh perbicaraan kali ini telah ditetapkan sejak bulan September 2023 dan sepatutnya laporan tersebut tersedia pada hari ini.
Malah katanya, soalan dikemukakan semasa pemeriksaan utama dan keterangan diberikan oleh Inspektor Yip berdasarkan laporan LGMS sendiri sepatutnya pihak peguam bersedia untuk pemeriksaan balas.
Sekiranya perlu, perbicaraan boleh dimulakan lewat sedikit esok untuk pemeriksaan balas. Bagi keadilan untuk semua pihak.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret, Nur Asyraf Zolhani memutuskan pemeriksaan balas akan diteruskan esok pada pukul 10 pagi.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan. – UTUSAN