LRT dari Ampang, Putra Heights, Sri Petaling ke Masjid Jamek dibuka esok - Utusan Malaysia

LRT dari Ampang, Putra Heights, Sri Petaling ke Masjid Jamek dibuka esok

Nor Azmi Mohd Nor (kanan) dan Muhammad Hafizi Hashim pada sidang akhbar mengenai operasi percubaan akhir perkhidmatan LRT di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya di Stesen Hang Tuah, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluhan penumpang Transit Aliran Ringan (LRT)  akan  berakhir esok apabila operasi tren dari Ampang, Sri Petaling dan Putra Heights menuju ke Stesen Masjid Jamek dibuka semula  esok hingga 16 Februari ini

Sebelum ini, penumpang perlu turun di Stesen Hang Tuah untuk mendapatkan tren perantara  ke Stesen Masjid Jamek. 

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi LRT, Rapid Rail Sdn. Bhd., Nor Azmi Mohd Yusof berkata, penumpang masih perlu mendapatkan khidmat bas perantara percuma bagi meneruskan perjalanan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya.

“Dalam tempoh yang sama, pihak Rapid Rail akan menjalankan operasi percubaan akhir perkhidmatan LRT di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya, sebagai persiapan sebelum pembukaan semula laluan ini kepada pengguna.

“Kekerapan tren pada waktu puncak akan dipertingkatkan dengan masa menunggu 3.5 minit bagi daerah pusat perniagaan dan tujuh minit luar daerah pusat perniagaan.

“Pelaksanaan operasi percubaan akhir ini dijalankan sebagai mematuhi piawaian operasi dalam langkah untuk memastikan keselamatan pengguna dan kebolehpercayaan sistem rel,” kata beliau pada sesi taklimat media mengenai operasi percubaan selepas kerja-kerja baik pulih struktur jejambat dan landasan di LRT Hang Tuah di sini hari ini.

KEROSAKAN

Terdahulu, laluan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup sejak 27 Januari 2023 susulan daripada kejadian kerosakan struktur Stesen LRT Bandaraya telah menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan. 

Mengulas lanjut, Nor Azmi turut memaklumkan, penambahan tren LRT juga akan dibuat bermula esok daripada 24 sebelum ini kepada 31 tren.

Sementara itu, Ketua Projek Prasarana Malaysia Berhad, Muhammad Hafizi Hashim berkata, jumlah tren telah ditambah kepada para penumpang untuk meningkatkan kekerapan tren.

Menurut beliau, kekerapan tren pada waktu puncak akan dipertingkatkan dengan masa menunggu 3.5 minit bagi Daerah Pusat Perniagaan dan 7 minit luar Daerah Pusat Perniagaan.

“Sebelum ini, hanya terdapat 24 tren,  tetapi mulai esok kami menambah kepada 31 tren sekali gus meningkatkan kekerapan tren.

“Bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), laluan ini akan dibuka sepenuhnya pada penghujung Februari 2024,” katanya.

Pihak Rapid Rail berharap dengan pembukaan semula laluan ini ia dapat mengembalikan keselesaan pengguna dan jumlah penumpang akan dapat ditingkatkan kerana penumpang tidak perlu lagi menukar tren atau menggunakan khidmat bas perantara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya