Lori tangki bomba bantu penduduk terjejas gangguan bekalan air - Utusan Malaysia

Lori tangki bomba bantu penduduk terjejas gangguan bekalan air

J. ARUL Kumar melihat lori tangki bomba yang tiba bagi membantu membekalkan air kepada penghuni di Pangsapuri Nilai Perdana yang terjejas gangguan bekalan air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lori tangki dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut digunakan bagi menghulurkan bantuan bagi membekalkan air kepada penduduk di kawasan Nilai di sini yang terjejas dengan gangguan bekalan air susulan masalah dalam pembekalan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-Ngoi di Pantai, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar berkata, bantuan daripada pihak bomba itu sebagai usaha selepas beberapa kawasan termasuk di Pangsapuri Nilai Perdana masih lagi mengalami gangguan bekalan air berkenaan.

“Saya meninjau beberapa tempat di Nilai Perdana sudah ada bekalan air, tetapi beberapa kawasan masih mengalami gangguan dan pihak Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd. (Sains) sedang menghantar tangki air untuk membekalkan air.

“Saya juga menghubungi Pengarah JBPM Negeri Sembilan untuk mendapatkan tangki bomba untuk membekalkan air bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air ini.

“Satu lori tangki bomba dari Balai Bomba Nilai membantu untuk memenuhkan tangki di pangsapuri Nilai Perdana yang dapat membekalkan air kepada 700 unit rumah di pangsapuri tersebut,” katanya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, gangguan bekalan air yang dialami sebahagian penduduk di Nilai, Lenggeng, Sendayan dan Bandar Springhill di Port Dickson adalah ekoran kerosakan pada penyambung saluran di Empangan Sungai Triang-Petaseh, Jelebu.

Katanya, kerosakan tersebut telah menjadi punca air tidak dapat dipam terus ke ke Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi Ngoi dekat Pantai, di sini.

Keadaan tersebut menyebabkan margin bekalan sumber air mentah yang disalurkan bagi kawasan Lenggeng; Nilai; Enstek dan Sendayan menurun dan berkurangan lalu menyebabkan tekanan air di kawasan-kawasan tinggi di hujung jajaran paip ini telah terganggu.

Sementara itu, Arul Kumar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri berkata, selain bantuan daripada lori tangki Sains, beberapa lori tangki dari syarikat operator bekalan air dari negeri lain juga membantu menghantar bekalan air ke kawasan terjejas.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN