KUALA LUMPUR : Pihak berkuasa sekali lagi menggempur beberapa lokasi di ibu negara dalam dalam mengambil tindakan ke atas peniaga dan penjaja warga asing.
Serbuan itu telah dijalankan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi operasi Khas Parlimen Bukit Bintang di Jalan Silang, Jalan Petaling dan Masjid India, di sini, semalam.
Operasi berkenaan diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Noor Azman Mahlin bersama 300 pegawai dan anggotanya.
DBKL dalam satu kenyataan berkata,tindakan khas ini membabitkan pemeriksaan 110 aktiviti premis perniagaan, penjaja, halangan kaki lima, pengendali atau pembantu warga asing, gerai tanpa lesen, halangan lalu lintas, iklan haram, papan tanda tulisan bahasa asing, kekotoran dan lain-lain kesalahan am yang berlaku.
Hasil operasi khas ini, katanya, 29 premis perniagaan diambil tindakan pindah peralatan kerana melakukan kesalahan halangan tempat awam, premis dikendalikan warga asing dan 20 penjaja tanpa lesen dikenakan tindakan sita barangan termasuk tiga penjaja bukan warganegara.
“Sehubungan itu, 25 Notis Penguatkuasaan Teknikal dan membuat tindakan serta-merta meroboh struktur sambungan di premis perniagaan yang menggantung pelbagai aksesori di lorong, laluan dan jalan awam serta menurunkan iklan dan poster haram sekitar lokasi operasi.
“Sejumlah 29 notis kompaun turut dikeluarkan kepada pemilik premis perniagaan membabitkan pelbagai kesalahan, antaranya beroperasi tanpa lesen, menggajikan warga asing, struktur sambungan, halangan tempat awam dan iklan tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, DBKL turut mengesan pelbagai kesalahan antaranya beroperasi tanpa lesen, menggajikan warga asing, struktur sambungan dan halangan tempat awam.
“Selain itu, iklan tanpa kebenaran dibawah peruntukan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976, UUK Iklan (WPKL) 1982, UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
“DBKL turut menunda 12 kenderaan, angkut sembilan buah motosikal dan mengkompaun 45 kenderaan yang membuat pelbagai kesalahan halangan lalu mlintas menerusi Kaedah Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kesemua barangan dan peralatan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras dan Depoh Kenderaan Ditunda Jalan Pahang untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi.