SEREMBAN: Lima orang ahli sindiket pinjaman wang tidak wujud didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan penipuan dalam menawarkan pinjaman tidak wujud, pada bulan November tahun lalu.
Tertuduh, Lee Jia Re, 23, Jason Lee Lian Sheng, 25, Jass Lee Ying Xing,19, Amiratul Najihah Abdul Malik, 21 dan Kamarul Nazrin Kamarulzaman, 29 bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.
Berdasarkan pertuduhan bersama, kesemuanya telah didapati dengan curangnya menipu seorang lelaki dengan memperdayakan untuk membuat pembayaran sebanyak RM310 ke akaun bank seorang wanita bagi tujuan mendapatkan pinjaman wang secara dalam talian.
Perbuatan itu dilakukan pada 18 November tahun lalu di sebuah bank di Senawang di sini.
Oleh itu, kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama di mana boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta denda.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh diwakili peguam, Daljit Singh.
Nik Nur Aqilah kemudiannya memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi laporan forensik dan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap tertuduh.
Majistret kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 6 Februari ini.
Difahamkan kesemua tertuduh ditangkap pada 20 Disember tahun lalu dalam satu serbuan di Sendayan di sini dengan pelbagai barangan yang dipercayai bagi aktiviti penipuan.
Semakan mendapati terdapat 12 laporan polis telah dibuat oleh mangsa-mangsa berkaitan kes penipuan pinjaman tidak wujud itu.-UTUSAN.