LABUAN: Seorang lelaki meninggal dunia akibat sesak nafas selepas terhidu asap berlebihan ketika membantu menyelamatkan mangsa kebakaran di Merinding Garden, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.17 pagi itu, mangsa yang merupakan sukarelawan itu pengsan selepas menyelamatkan jirannya yang terlibat dalam kebakaran.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superitenden Mohd. Hamizi Halim berkata, lelaki berusia 41 tahun itu dikatakan berjaya menyelamatkan tujuh mangsa kebakaran termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun.
Selepas membantu menyelamatkan kesemua mangsa kebakaran, lelaki tersebut difahamkan tidak bermaya lalu pengsan.
“Bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) telah diberikan namun, mangsa gagal diselamatkan.
“Mangsa dihantar ke hospital dengan bantuan ambulans pada pukul 6.10 pagi dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia disyaki kerana mengalami sesak nafas dipercayai akibat terhidu bau asap yang berlebihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Nukleus Wilayah Persekutuan Labuan untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut Mohd. Hamizi, siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati punca kebakaran dipercayai bermula dari kenderaan yang diparkir di hadapan rumah dan seterusnya merebak ke dalam rumah.
Kesemua tujuh mangsa kebakaran yang diselamatkan berada dalam keadaan stabil dan dua daripadanya menerima rawatan akibat kecederaan ringan yang dialami.