Lelaki lemas di Pantai Sepat meninggal dunia ketika rawatan - Utusan Malaysia

Lelaki lemas di Pantai Sepat meninggal dunia ketika rawatan

MANGSA tidak sedarkan diri selepas diselamatkan rakannya apabila lemas dibawa arus ketika mandi di Pantai Sepat di Kuantan, Pahang. - FOTO IHSAN APM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pembekal pekerja yang dipercayai lemas ketika mandi-manda di Pantai Sepat di sini kira-kira pukul 9.30 pagi hari ini disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Khoo Kim Chai, 36, yang merupakan mualaf disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pukul 11.10 pagi.

“Berdasarkan laporan daripada siasatan awal, ketika kejadian mangsa dan seorang rakannya sedang bermain ombak bersama dan tiba-tiba hanyut dibawa arus namun rakannya berjaya menyelamatkan diri.

“Ketika kejadian, mangsa hilang namun rakan-rakannya berjaya menemukannya dan menariknya ke darat. Bantuan pernafasan telah diberikan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas ketika itu.

“Mangsa tidak sedarkan diri dan segera dikejarkan ke Unit Kecemasan HTAA namun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, mangsa yang berasal dari Pelabuhan Klang, Selangor datang ke bandar ini untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya.

Jelasnya, mangsa bersama rakannya menginap di sebuah rumah inap berhadapan masjid Pantai Sepat.

“Mayat mangsa diserahkan kepada kakitangan Jabatan Forensik HTAA bagi menjalani ujian Covid-19 dan bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya