MELAKA: Perbuatan keji seorang bapa tiri yang merogol dan mencabul kehormatan dua anak perempuan tirinya di sebuah rumah di Lereh, Tanjung Kling di sini sejak tujuh tahun lalu terbongkar selepas kedua-dua mangsa menceritakan hal itu kepada nenek mereka.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md. Nazri Nawawi berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 27 tahun dipercayai merogol dan mencabul mangsa masing-masing berusia 13 dan 15 tahun beberapa kali sejak mereka bersekolah rendah.
Katanya, mangsa akan dirogol apabila tinggal berdua bersama suspek semasa ibu mereka keluar berniaga antara pukul 5.30 petang hingga 10.30 malam.
“Kakak dirogol sebanyak empat kali sejak darjah empat manakala adiknya dirogol satu kali pada 2 Januari lalu tetapi suspek telah meraba mereka sejak sekolah rendah lagi. Mangsa tidak memberitahu hal sebenar kepada ibu mereka kerana bimbang tidak akan mempercayai perbuatan suspek.
“Sebab itu kedua-dua mangsa terus merahsiakan perbuatan suspek. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa telah menceritakan hal itu kepada nenek mereka setelah wanita itu bertanyakan hubungan mereka dengan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Md. Nazri, pengadu yang juga ibu mangsa telah bertanyakan kepada suspek tentang perbuatan kejinya, namun suspek menafikannya.
Menurutnya, susulan itu pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga kira-kira pukul 9.27 malam, semalam.
“Bertindak atas laporan, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan di pos pengawal tempatnya bekerja pada hari sama kira-kira pukul 11 malam. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 Januari depan. Kes disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN