Lelaki dipenjara 14 hari, denda RM2,000 pukul kakak ipar - Utusan Malaysia

Lelaki dipenjara 14 hari, denda RM2,000 pukul kakak ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 14 hari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Tampin hari ini selepas mengaku bersalah memukul kakak iparnya dalam kejadian pada bulan Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Syahmi Mohd. Bakri, 30, yang merupakan pekerja pembersihan membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Majistret turut menetapkan empat bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah mendatangkan kecederaan ke atas kakak iparnya yang ketika itu berusia 39 tahun dengan cara menumbuk dan memukul menggunakan tangan sehingga menyebabkan kecederaan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di taman perumahan Taman Indah, di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi, 24 Disember lalu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, kejadian berlaku di ruang tamu rumah disebabkan masalah keluarga dan disaksikan oleh ibu kandung mangsa sendiri.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya