KUALA LUMPUR : Seorang lelaki tidak menyangka dijadikan mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan tebusan di Myanmar selepas diperdaya dengan pendapatan lumayan mencecah RM7,000 untuk bekerja di negara itu.
Lebih parah apabila pihak sindiket meminta wang tebusan berjumlah AS$50,000 (RM232,225) dan sekiranya tidak mampu menjelaskan bayaran di perlu mencari serta menjerat dua lagi individu lain sepertinya sebagai balasan untuk dibebaskan.
Adik ipar mangsa yang enggan dikenali berkata, abangnya padanya telah terpedaya satu iklan di Facebook menawarkan pendapatan lumayan untuk kerja selama satu minggu di negara jiran pada pertengahan Disember lalu.
Katanya, disebabkan tertarik dengan tawaran itu, lelaki berusia 34 tahun berkenaan menghubungi ejen yang menawarkan pekerjaan pada iklan itu tanpa menyedari ia sebenarnya didalangi sindiket penipuan kerja.
“Abang saya nampak iklan di Facebook sebelum menghubungi ejen lalu mereka terus beri tiket penerbangan ke Bangkok, Thailand.
“Sampai di sana dia dibawa seorang pemandu ke sempadan Thailand menaiki kereta ketika itu abang tidak tahu sudah ditipu.
“Masuk hari kedua dia dibawa ke sebatang sungai dan diarahkan untuk ke seberang barulah dia sedar sudah ditipu sindiket,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, selepas beberapa jam tiba di premis milik sindiket, telefon bimbit miliknya telah diserahkan semula sebelum abangnya terus menghubungi keluarga di Malaysia untuk meminta bantuan.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, taktik yang digunakan sindiket terbabit untuk memancing mangsa sudah sering kali digunakan namun masih ramai terpedaya.
“Kita MHO sedang berusaha untuk membawa pulang mangsa dan kita sedang bincang dengan kerajaan Malaysia dan Thailand untuk selamatkan mangsa.
“Kita sekarang sedang kerjasama dengan kerajaan China juga untuk selamatkan mangsa-mangsa sindiket di kawasan Myawaddy, Myanmar,” jelasnya.
Daniel turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja yang menjanjikan pulangan lumayan atau singkat terutama di luar negara.
“Sebelum terima tawaran kerja tolong semak dahulu latar belakang syarikat terbabit, boleh semak dengan agensi berkaitan atau dengan Kementerian Luar Negeri.
“Kalau boleh minta syarikat berkenaan sediakan permi kerja di negara terbabit terlebih dahulu jika tidak macam mana nak bekerja di negara orang,”katanya.