Lebuhraya Pasir Gudang sering rosak lori bawa lebih muatan - Utusan Malaysia

Lebuhraya Pasir Gudang sering rosak lori bawa lebih muatan

ASMAN SHAH Abd. Rahman (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara MoU antara MBPG dan PIS berkaitan Pembangunan Pelan Tindakan Pelancongan Pasir Gudang di Hotel Opero Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lori kontena yang membawa muatan melebihi spesifikasi jalan antara punca permukaan jalan di Lebuhraya Pasir Gudang kerap mengalami kerosakan dan berlubang.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, dianggarkan lebih 3,000 lori kontena melalui lebuh raya itu setiap hari ke kawasan perindustrian tersebut.

Bagi mengatasi perkara itu daripada berlarutan, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) merancang untuk mewujudkan jambatan timbang bagi mengurangkan kerosakan stuktur lebuhraya terbabit.

“Perlu diingat bahawa Pasir Gudang ini adalah kawasan industri, kita ada 3,000 lori kontena (lalu setiap hari). Ketika jalan Pasir Gudang dibina pada tahun 70-an, spesifikasinya untuk lori kontena yang beratnya tidak melebih 30 tan. 

“Tetapi kita lihat hari ini, rata-rata lori yang melalui Lebuhraya Pasir Gudang beratnya sudah 60 hingga 70 tan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBPG dengan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) berkaitan Pembangunan Pelan Tindakan Pelancongan Pasir Gudang di Hotel Opero, di sini hari ini.

Asman Shah berkata, jambatan timbang itu akan memastikan setiap lori yang masuk ke Pasir Gudang tidak melebihi berat yang sepatutnya.

Pihaknya akan bekerjasama dengan Johor Port yang memiliki jambatan timbang serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) agar semua lori yang hendak keluar perlu ditimbang dan tidak boleh lebih muatan.

“Masyarakat sering meletakkan kesalahan terhadap kontraktor kerana membuat kerja naik taraf atau penurapan tidak baik apabila ia kembali rosak, sebaliknya jalan cepat rosak kerana lebih muatan. Dalam media sosial masyarakat tidak menyebut mengenai lori lebih muatan, mereka hanya salahkan kontraktor buat jalan tak bagus sedangkan jalan raya itu dibuat mengikut spesifikasinya,” katanya.

Dalam pada itu, Asman memberitahu, MBPG sudah berbincang dengan kerajaan negeri berhubung isu jalan itu walaupun terdapat beberapa jalan bukan di bawah seliaan MBPG termasuk Lebuhraya Pasir Gudang.

“Lebuhraya Pasir Gudang bukan bawah MBPG, ia di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), begitu juga Jalan Masai-Kong Kong. Ada sebahagian kawasan jalan bukan di bawah bidang kuasa, seperti Jalan Tanjung Langsat.

“Masyarakat melihat jalan itu semua di bawah kita, tetapi bukan. Kita berhubung dengan konsesi yang dilantik kerajaan Johor untuk baiki jalan-jalan di bawah pentadbiran MBPG,” jelasnya sambil memberitahu pihaknya telah menaik taraf beberapa jalan dengan menukar konkrit bagi memastikannya mampu bertahan lebih lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya