Lebih RM400,000 lesap tertipu pelaburan tak wujud - Utusan Malaysia

Lebih RM400,000 lesap tertipu pelaburan tak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus syarikat berputih mata apabila wang berjumlah RM422,173 yang dilaburkan lesap akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan tentang kes itu daripada seorang lelaki berusia 38 tahun, kelmarin.

Mangsa mendakwa ditipu skim pelaburan dalam talian menawarkan perniagaan barangan kesihatan yang boleh memberikan pulangan lapan peratus bagi setiap pembelian.

“Mangsa yang tertarik dengan pulangan yang dijanjikan telah melakukan 43 transaksi pembayaran ke dalam lima akaun bank berbeza sejak 6 Disember lalu hingga Ahad lepas dengan jumlah keseluruhan RM422,173.

“Pembayaran tersebut adalah untuk pembelian barangan dan mangsa dijanjikan wang akan dikembalikan berserta lapan peratus komisen, namun apabila mangsa meminta bayaran balik dan komisen yang dijanjikan, suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa menyedari dirinya tertipu apabila suspek memintanya membuat bayaran tambahan selain diberikan pelbagai alasan ketika meminta bayaran balik dan komisen yang dijanjikan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat. Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan mudah, cepat dan tinggi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya