Lebih banyak direktori dan peta lokasi restoran popular wajar dinaikkan - Utusan Malaysia

Lebih banyak direktori dan peta lokasi restoran popular wajar dinaikkan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengadakan kunjungan ke litar Go-Kart Unimap Racing Circuit di Arau, Perlis semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Lebih banyak direktori dan peta lokasi memaparkan restoran popular secara digital, dalam talian dan fizikal dalam bentuk papan-papan tanda wajar dinaikkan di lokasi-lokasi tumpuan para pelancong.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah tersebut
akan memudahkan para pelancong yang berkunjung ke negeri ini khususnya buat kali pertama.

“Selain itu bagi memudahkan para pelancong merancang jadual perjalanan masing-masing bagi melawat destinasi-destinasi menarik dan pada masa yang sama juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba segala juadah unik yang ada di Perlis,” titah baginda selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Pauh Putra di sini semalam.

Kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada sesi kali ini mendapat kerjasama daripada Universiti Malaysia Perlis (Unimap) serta Mokti’s Ice Cream, NI Shin Ev Technology Sdn. Bhd. dan MYUS Autotech sebagai rakan strategik bagi menyantuni dan memberikan bantuan kepada tiga asnaf terpilih.

Hadir sama, Naib Canselor Unimap, Prof Datuk Dr. Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut sama menyampaikan sumbangan ialah Pengerusi NI Shin Ev Technology Sdn. Bhd, Datuk Seri Rosman Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif MYUS Autotech, Datuk Nellsen Phillipe Young dan Pengerusi Lembaga Pengarah Mokti’s Ice Cream, Pengiran Muhammad ‘Adil Awang Iskanderdzulkarnain.

Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs berkenan untuk menyampaikan bantuan MAIPs kepada Mohamad Nor Murad, Long Omar dan Khairil Haimizam Rasmi.

Setiap asnaf menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli, beras Fidyah dan beberapa sumbangan tambahan daripada rakan-rakan strategik yang hadir.

Baginda turut berkenan mengadakan kunjungan ke litar Go-Kart Unimap Racing Circuit yang diusahakan oleh Xtreme Karting by Braaap sepanjang 1.2 kilometer yang terletak di dalam kawasan kampus tersebut yang boleh diakses dari pintu masuk utama.

Go-Kart SODIKart 270cc ini juga merupakan salah satu tarikan bagi memeriahkan dan merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Pelancongan sukan ini turut menawarkan kepada orang awam terutamanya kepada peminat sukan bermotor ekstrem serta lasak dan berpeluang merasai pengalaman dan adrenalin sukan ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya