Lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang

Lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang

ANGGOTA Bomba berusaha memadamkan sepenuhnya kebakaran melibatkan rumah di Jalan Sultanah Zainab berhampiran Istana Kota Lama, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Sultanah Zainab berhampiran Istana Kota Lama, di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 8.10 pagi itu, kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Saksi kejadian Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 57 berkata, kebakaran itu mula disedari apabila melihat kepulan asap dan api selepas pulang dari menunaikan solat subuh di Masjid Muhammadi.

Menurutnya, dia terus memaklumkan perkara tersebut kepada jiran dan menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Api merebak dengan begitu cepat tanpa sempat saya berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barangan di dalam rumah.

“Syukurlah…semua yang terlibat selamat dan tidak berlaku sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Seorang lagi mangsa Muhammad Arif Haikal Hashim, 22, memberitahu dia bersyukur kerana adik bongsunya yang berusia lima tahun bertindak cepat dengan memaklumkan kejadian itu.

Katanya, ketika itu dia baru sahaja masuk ke bilik selepas bersarapan dan menemani Ariana Qalisha menonton televisyen. 

“Tiga minit kemudian adik bongsu saya itu memanggil saya dan beritahu ada asap tebal di dapur rumah. Saya terus ke dapur dan melihat ada nyalaan api pada kepala penyambung hos gas memasak. 

“Tanpa berlengah saya terus mengejutkan dua adik yang masih tidur dan bawa mereka serta Ariana Qalisha keluar menyelamatkan diri,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Zukri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.11 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Sebanyak lima buah rumah mengalami kemusnahan 90 peratus manakala dua lagi 30 peratus musnah. Kejadian melibatkan lapan keluarga berikutan terdapat sebuah dihuni oleh dua keluarga.

“Punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian belum dikenal pasti kerana kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya