Laluan kontra di KSAB dilaksana minggu depan - Anthony Loke - Utusan Malaysia

Laluan kontra di KSAB dilaksana minggu depan – Anthony Loke

ANTHONY LOKE Siew Fook (tengah) mendengar penerangan tentang operasi laluan kontra ketika mengadakan lawatan ke CIQ KSAB, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan akan melaksanakan laluan kontra bagi kenderaan keluar dari Malaysia menuju ke Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) seawal minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan negeri mendapat ‘lampu hijau’ berbuat demikian setelah laluan keluar itu dilengkapi dengan sistem kawalan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) secara ‘mobile’.

Katanya, langkah  merupakan penyelesaian jangka pendek bagi memenuhi keperluan mendesak untuk mengaktifkan laluan kontra bagi mengatasi kesesakan kenderaan dari Johor ke Singapura.

Katanya, laluan masuk dan keluar kenderaan ke Malaysia melalui CIQ Banggunan Sultan Iskandar (BSI) dan KSAB telah dipasang dan dioperasikan sistem VEP dan Caj Jalan (RC). 

“Menerusi sistem VEP, semua kenderaan pendaftaran Singapura yang masuk ke Malaysia akan direkodkan maklumatnya. Bagi melengkapkan transaksi laporan, sistem VEP juga akan turut merekodkan kenderaan yang keluar dari Malaysia.

“Justeru, kita akan meletakkan kenderaan yang dilengkapi dengan sistem kamera VEP di laluan kontra itu bagi membolehkan rekod kenderaan yang melalui laluan kontra dapat direkodkan. Semua pergerakan keluar kenderaan akan boleh direkodkan melalui sistem mobile itu bagi menyokong pelaksanaan laluan kontra tersebut,” katanya selepas mengadakan lawatan ke CIQ KSAB, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Siew Fook berkata, pengaktifan laluan kontra sebanyak 12 kaunter imigresen itu akan menjadikan sebanyak 36 kaunter beroperasi dalam satu masa, sekali gus berupaya memudahkan perjalanan dan mengurangkan kesesakan pada waktu puncak ,khususnya pada cuti hujung minggu.

“Untuk jangka masa panjang, sistem VEP yang kekal juga akan dibangunkan dan dioperasikan di laluan kontra,” katanya sambil memberitahu sistem tersebut dijangka akan mula beroperasi selewat-lewatnya pada akhir tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya