Laluan Istana Bukit Serene-Senai ditutup sempena keberangkatan Sultan Johor - Utusan Malaysia

Laluan Istana Bukit Serene-Senai ditutup sempena keberangkatan Sultan Johor

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Laluan sepanjang 35.5 kilometer (km) bermula dari Istana Bukit Serene, di sini sehingga ke Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Senai ditutup pada pagi Rabu ini.

Penutupan jalan sehala itu sempena keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara, Kuala Lumpur bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, laluan utama itu akan mula ditutup pada pukul 7.45 pagi dan pergerakan konvoi Sultan Ibrahim dari Istana Bukit Serene dijangka bermula pukul 8 pagi.

“Pergerakan konvoi dijangka mengambil masa kira-kira satu jam menuju Hangar Diraja dan laluan akan dibuka semula sebelum pukul 9 pagi.

“Sepanjang jalan itu, dijangka 20,000 hingga 30,000 rakyat akan berbaris di sepanjang laluan melambai dan menyatakan sokongan kepada Sultan Ibrahim,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kumar menasihati orang ramai supaya mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pegawai polis bertugas sepanjang tempoh berkenaan bagi melancarkan pergerakan konvoi tersebut.

Justeru, beliau meminta pengguna jalan raya di laluan terlibat yang mempunyai urusan kerja atau sebagainya supaya keluar lebih awal sebelum laluan ditutup.

“Jika ada yang ingin melalui laluan berkenaan, diingatkan supaya keluar lebih awal atau menggunakan jalan alternatif yang ada.

“Dianggarkan 1,200 anggota polis termasuk pasukan bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sepanjang laluan bagi memastikan kelancaran perjalanan Sultan Johor dan keselamatan orang ramai nanti,” katanya.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan Selasa ini dan  melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya