LIPIS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah ini diminta membaiki laluan berlopak di beberapa lokasi di bandar lama Kuala Lipis di sini.
Difahamkan, ia berlaku disebabkan mendapan kecil sehingga menakung air setiap kali hujan sekali gus menimbulkan rasa kurang selesa pemandu dan pejalan kaki.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Wan Ahmad Sabri Wan Hussin, 57, berkata, lopak-lopak itu sudah ada sejak beberapa bulan lalu berikutan mendapan struktur batuan di permukaan jalan utama.
“Setiap kali kereta melalui lopak, air terpercik sehingga kaki lima kedai, terkena penunggang motosikal dan pejalan kaki sehingga mengotorkan pakaian mereka.
“Kita berharap ada usaha daripada pihak berwajib untuk membaik pulih tempat ini yang merupakan laluan utama kenderaan dan pengunjung yang melawat bandar lama dibina oleh British sejak abad ke-19 lagi,” katanya di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Hashim Hanafiah, 61, berkata, kawasan lopak itu kerap dipenuhi air hujan terutama ketika musim tengkujuh.
Ujarnya, sebagai bandar warisan era British dan kemudiannya menjadi artifak sejarah antara sebahagian destinasi pelancongan Lipis Ecopark Kebangsaan, sewajarnya kawasan itu segera dibaik pulih. – UTUSAN