Laksana 'gencatan senjata', fokus pulih ekonomi - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Laksana ‘gencatan senjata’, fokus pulih ekonomi – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua pimpinan parti politik perlu melakukan ‘gencatan senjata’ bertujuan mengelak konflik politik dari berterusan dan bersama-sama menumpukan usaha merealisasaikan agenda pemulihan ekonomi pada tahun baharu ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ini bukan masanya untuk pimpinan parti politik mengatur strategi bagi menukar kerajaan yang ketika ini kukuh dan mempunyai sokongan lebih dua pertiga dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata, tahun baharu ini bukan lagi masa mengatur ‘langkah’ politik sebaliknya ‘berlari’ bersama-sama kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membangunkan ekonomi negara.

“Pengembelengan usaha ke arah itu harus menjadi keutamaan setiap pimpinan parti politik ketika ini berbanding perkiraan untung rugi berpolitik jangka pendek dan perebutan kuasa berterusan yang hanya memudaratkan rakyat dan negara jangka panjang.

“Apa yang perlu menjadi kebimbangan kita, ramalan Bank Dunia bahawa prestasi ekonomi negara pada tahun ini diramalkan jauh lebih rendah berbanding negara Asean lain seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam.

“Jika unjuran Bank Dunia ini menjadi kenyataan, dibimbangi ia akan menyebabkan peningkatan pengangguran dan pendapatan isi rumah tidak dapat menampung peningkatan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, inilah waktu terbaik bagi semua pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang untuk memastikan rakyat tidak dibebani kemelut sosio politik, sebaliknya pemimpin perlu berganding bahu mencari jalan penyelesaian menyelesaikan isu-isu kritikal masyarakat yang terkesan teruk akibat ancaman kemelesetan ekonomi yang dihadapi.

Beliau berkata, apa yang diinginkan rakyat adalah pembelaan dan pemeliharaan daripada segi sosio ekonomi, bagaimana mereka akan meneruskan kelangsungan kehidupan, bukannya memperjudikan nasib di atas senario politik tidak menentu pada ketika ini.

“Penyatuan semua pihak dalam penyelesaian isu-isu domestik cukup bermakna dan begitu diperlukan untuk kita mengembalikan semula tahap ekonomi negara.

“Gencatan politik harus dilaksanakan segera. Semua parti politik harus menggalas tenaga bersedia bekerjasama untuk melestarikan penyatuan kerjasama politik.

“Semua pimpinan politik perlu memberikan keyakinan kepada rakyat dan pelabur asing bahawa mereka mampu menjelmakan keamanan dan perpaduan nasional serta membelakangkan kemelut-kemelut yang tidak memberi sumbangan kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau sehubungan itu menyeru kepada semua pimpinan politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang bersama-sama berganding bahu memacu Malaysia jauh ke hadapan dan kembali menjadikan negara ini sebagai Harimau Asia yang pernah disandang satu ketika dahulu.

“Kita perlu bersama-sama dalam tempoh tiga tahun ini membangunkan Malaysia sebagai negara yang diyakini oleh masyarakat dunia dan pelabur luar negara,” katanya.

Mohd. Sharkar dalam pada itu berkata, tempoh masa tiga tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bukanlah panjang.

“Apabila sampai masanya nanti, berpolitiklah, ‘its free for all’. Waktu itu nanti, bentuklah gabungan dan pakatan politik masing-masing dan berperanglah kerana ketika itu memang masanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya