KOTA BHARU: Arena bola sepak Kelantan hari ini kehilangan sebutir permata apabila Wan Ezila Daud meninggal dunia awal pagi tadi.
Bekas pemain Kelantan dan Terengganu itu menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 1.30 pagi tadi.
Salim Mahmud Muhaidin ketika dihubungi Utusan Malaysia menyifatkan pemergian Wan Ezila itu satu kerugian buat arena bola sepak negeri ini.
“Sepanjang bermain dengan Allahyarham, beliau merupakan seorang individu yang berdisiplin dan mempunyai semangat juang tinggi.
“Beliau merupakan seorang pemain tengah yang lincah dan sentiasa digeruni pihak lawan,” katanya.
Bekas kapten Harimau Malaya tahun 1981 hingga 1982 itu memberitahu, setiap kali beraksi Wan Ezila akan diberikan kawalan ketat oleh pihak lawan disebabkan oleh kelincahan yang dimiliki pemain itu.
Difahamkan Wan Ezila memulakan kerier bersama pasukan Kelantan pada tahun 1980-an.-UTUSAN