KPDN teruskan Ops Tiris banteras pengubahan wang haram

KPDN teruskan Ops Tiris banteras pengubahan wang haram

AZMAN ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan Ops Tiris pada tahun ini menerusi langkah penguatkuasaan pencegahan pengubahan wang haram.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi tersebut sebagai usaha untuk membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi  yang dikesan masih lagi berlaku.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, Bahagian Penguat Kuasa KPDN menjalankan beberapa operasi bersama agensi penguatkuasaan lain dalam usaha mencegah aktiviti berkenaan.

Jelasnya, menerusi operasi itu sebanyak 877 kes di bawah Op Tiris direkodkan melibatkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) yang membawa kepada sitaan 6.441 juta liter diesel bernilai RM14.21 juta, selain rampasan RM7.027 juta wang tunai di dalam akaun bank milik peniaga serta syarikat terlibat.

“Ini adalah satu kejayaan dan ia akan teruskan sehingga kita berpuas hati dan mencapai sasaran untuk mengurangkan ketirisan bahan diesel bersubsidi ini.

“Kita berpandangan sehingga mana Op Tiris ini berjaya membuahkan sesuatu yang positif, kita akan teruskan lagi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Untuk rekod, penyelewengan diesel bersubsidi bagi 500,000 liter dan ke atas akan dikenakan tindakan dibawah Akta 613, manakala penyelewengan diesel dengan jumlah liter lebih rendah tertakluk kepada Akta Kawalan Bekalan 1961.

Azman turut memberi peringatan kepada pemborong serta pengusaha stesen minyak supaya lebih berhati-hati dan menjalankan perniagaan mengikut lunas undang-undang berikutan KPDN tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan.

Selain Op Tiris, Azman berkata, KPDN turut menjalankan beberapa lagi operasi bersepadu sepanjang tahun lalu membabitkan Ops Reward yang bertujuan membanteras aktiviti skim piramid dan Ops Pharma kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Racun 1952 dan Akta Cap Dagangan 2019.

“Secara keseluruhan sepanjang 2023, sebanyak RM1,715,053 nilai kompaun telah ditawarkan dan dijelaskan, manakala RM137,517.69 nilai harta alih telah dilucuthakan dan dijadikan hasil kerajaan,” katanya.

Oleh itu, katanya, tindakan berterusan akan dilaksanakan oleh Seksyen Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Bahagian Penguat Kuasa KPDN bagi memperkasakan penguatkuasaan Akta 613 termasuk mendapatkan kembali hasil haram yang diperoleh di bawah undang-undang sedia ada bagi tujuan dijadikan hasil kerajaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya