PETALING JAYA: Kos melaksanakan ibadah haji bagi seorang muassasah tahun ini meningkat sebanyak lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun lalu.
Justeru, Bantuan Kewangan Haji untuk tahun ini yang ditanggung Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dijangka meningkat kepada RM350.1 juta.
Kos tersebut meliputi seluruh rantaian perkhidmatan haji termasuk penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di tanah air dan juga di tanah suci.
Antara lain ia turut merangkumi operasi masyair, pengangkutan, kos pengurusan, kebajikan serta kesihatan jemaah haji dan lain-lain kos.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman berkata, berdasarkan perkembangan itu, kadar bayaran haji untuk bakal haji muasassah golongan B40 yang pertama kali ditetapkan pada RM12,356 seorang.
Menurutnya, kadar tersebut telah mengambil kira keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap bakal haji golongan B40 dengan menanggung kos tersebut sebanyak RM1,000 setiap seorang.
“Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang iaitu bersamaan dengan 63 peratus daripada kos keseluruhan haji.
“Bayaran haji bagi bakal haji muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan ibadat haji pula adalah RM19,152 seorang namun mereka akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42 peratus daripada kos keseluruhan.
“Kumpulan T20 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu sebanyak RM33,300 seorang,” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut berhubung kenaikan kos haji, beliau berkata, Tabung Haji terdedah kepada faktor di luar kawalan seperti peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah fan caj perkhidmatan di Tanah Suci.
“Dalam usaha mengawal peningkatan kos haji, Tabung Haji juga telah memeterai perjanjian kontrak jangka panjang membabitkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.
“Walaupun berlaku kenaikan kos haji, namun Tabung Haji tetap mencari kaedah terbaik mengimbangi usaha memberikan perkhidmatan cemerlang demi kebajikan jemaah negara di samping mengekalkan kelestarian kedudukan kewangan,” katanya. – UTUSAN