Kontraktor gagal kemuka penyata pendapatan syarikat, 7 Mac tarikh sebutan semula - Utusan Malaysia

Kontraktor gagal kemuka penyata pendapatan syarikat, 7 Mac tarikh sebutan semula

AFANDI Hassan (kiri) hadir ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan gagal mengemukakan pendapatan bercukai syarikat miliknya sejak tahun 2018.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini menetapkan tarikh 7 Mac depan bagi dua pertuduhan ke atas seorang kontraktor pembekalan makanan yang gagal mengemukakan jumlah penyata pendapatan bercukai syarikat selama empat tahun sejak 2018.

Majistret, Norhafiza Ishak menetapkan tarikh itu ke atas orang kena saman (OKS), Afandi Hassan, 42, bagi melihat kembali sama ada rundingan rayuan yang dibuat boleh diterima atau kes diteruskan di mahkamah. 

Ketika prosiding berlangsung hari ini, kedua-dua pertuduhan terbabit tidak dibacakan terhadap OKS. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Peguam Hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Muhammad Afiq Ahmad Tajuddin yang memohon mahkamah menetapkan satu tarikh diberi sementara menunggu proses rayuan. 

Majistret kemudiannya menetapkan 7 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan status penyelesaian bagi kedua-dua pertuduhan terbabit.

Difahamkan, Afandi yang merupakan pemilik syarikat Fendi KTP Enterprise itu didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan dalam Borang B bagi tahun taksiran 2020 dan 2021 serta Borang B bagi tahun taksiran 2018 dan 2019 yang mempunyai pendapatan bercukai. 

Sebagai pemilik perniagaan, OKS dikehendaki mengemukakan penyata pendapatan syarikat itu kepada Ketua Pengarah LHDN. 

Berikutan itu, dia boleh didakwa di bawah Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya dan penalti khas tiga kali ganda jumlah cukai yang dikenakan, jika sabit kesalahan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN