KUALA LUMPUR: Beberapa individu termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah akan dituduh dalam masa terdekat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya telah mendapat keputusan bagi menuduh suspek-suspek tersebut.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan tuduh mereka dalam masa terdekat ini.
“Proses mengesan aset lain milik suspek juga masih berjalan termasuk beberapa akaun sudah dibekukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk serta 11 individu termasuk dua penjawat awam dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah.
Lelaki berusia 40 tahun itu turut menaungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haramnya sejak 2015.
Malah, sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahlinya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketua sindiket itu antara 10 individu ditahan JSJN Bukit Aman dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam serbuan di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna pada 2.30 pagi.
Beliau dilaporkan berkata, sindiket tersebut memperoleh bekalan dadah dari negara jiran sejak 2015 dan mereka menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Sabah untuk pasaran sekitar negeri terbabit, selain turut diseludup ke Indonesia dan Filipina. – UTUSAN