Kerjasama UMNO dengan parti mana ditentu lepas DUN Sabah bubar  - Utusan Malaysia

Kerjasama UMNO dengan parti mana ditentu lepas DUN Sabah bubar 

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: UMNO dan Barisan Nasional (BN)  akan memutuskan rakan kerjasama yang dipilih bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti  yang juga bersedia  untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN Sabah.

“Saya nyatakan kita sedia kerjasama dengan mana-mana parti, tidak kira sama ada parti itu parti besar atau pun parti kecil…yang penting jangan ada slogan dan jangan ada satu gerakan bahawa ini parti tempatan, ini parti di peringkat nasional.

“Kita sebagai sebuah negara mesti mempunyai minda yang terbuka dan tentunya rakyat boleh menilai (siapa) yang mewakili rakyat di Malaysia,” katanya selepas majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian dan Rumah Terbuka Krismas Kadamaian, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau berpendirian  politik sangat pragmatik maka, jalinan kerjasama boleh dilakukan dengan mana-mana parti  dan paling penting kerajaan ditubuhkan mesti mendapat dukungan rakyat majoriti.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemungkinan kerjasama antara UMNO Sabah dan Parti Warisan (Warisan) seperti yang disebutkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebelum ini.

Mengulas tentang autonomi UMNO Sabah, beliau berkata, pemberian kuasa autonomi kepada UMNO Sabah  ditetapkan dalam Perlembagaan UMNO. 

Malah, kata Ahmad Zahid, dalam soal pemilihan calon dan Ketua Menteri, autonomi  diberi sepenuhnya kepada mereka tetapi, keputusan itu harus dimaklumkan kepada Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan wujud kemelut politik yang sedang berlaku di Sabah.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN)  berkata, pada masa ini tidak ada pergolakan politik di Sabah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya