Kerajaan yakin RTS Link beroperasi 1 Januari 2027 - Anthony Loke - Utusan Malaysia

Kerajaan yakin RTS Link beroperasi 1 Januari 2027 – Anthony Loke

ANTHONY LOKE Siew Fook yakin projek RTS Link dapat disiapkan mengikut jadual dan mula beroperasi 1 Januari 2027.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan yakin Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kedua-dua negara komited menjayakan projek itu  dan perbincangan antara kedua-dua pasukan dilakukan secara berkala.

Menurutnya, tahap kemajuan projek pembinaan jejambat marin (marine viaduct) RTS Link telah mencapai tahap 68 peratus.

“Tahap kemajuan pembinaan jejambat daratan (terrestrial viaduct) sebanyak 31 peratus, tahap kemajuan pembinaan stesen pada 41 peratus serta pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pula sebanyak 3.22 peratus.

“Ya, kita yakin 100 peratus projek ini berjalan dengan lancar dan akan dapat mula operasi pada 1 Januari 2027. Perkembangan projek mengikut jadual dan kita amat komited untuk menjayakannya.

“Tahniah kepada kedua-dua pasukan dari Malaysia dan Singapura yang telah bekerjasama dengan baik dan bersungguh-sungguh memastikan projek ini berjalan mengikut jadual ditetapkan. Saya sendiri menunggu tarikh itu (1 Januari 2027),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Malaysia dan Singapura Bagi Projek RTS Link Antara Johor Bahru dan Singapura yang disempurnakan secara bersama oleh Perdana Menteri kedua-dua negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lee Hsien Loong di titik pertemuan jejambat marin projek berkenaan, di sini hari ini.

Sementara itu, Siew Fook turut memberitahu, penetapan kadar tambang RTS Link tersebut hanya akan dibuat apabila projek itu menghampiri tarikh siap sepenuhnya.

“Kadar tambang akan ditetapkan pihak bertanggungjawab dan akan dimaklumkan sebelum RTS Link siap dan beroperasi. Pastinya harga tambang kompetitif dan menarik bagi memastikan pengguna kedua-dua negara dapat menikmati perjalanan rentas sempadan yang selesa.

“Paling utama, RTS Link ini akan memendekkan masa perjalanan rentas sempadan, khususnya apabila pemeriksaan imigresen bagi kedua-dua negara dilakukan di satu lokasi yang sama. Itu merupakan komponen paling utama dalam projek ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan terbuka dalam meneliti sebarang cadangan penambahbaikan jaringan penghubung antara Malaysia dan Singapura termasuk menerusi pelaksanaan perkhidmatan feri.

“Perkara itu bagaimanapun perlu mendapat persetujuan kedua-dua negara kerana inisiatif sedemikian melibatkan banyak komponen termasuk infrastruktur, fasiliti dan kemudahan CIQ,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya