KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan modal sebanyak RM521.2 juta kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, peruntukan untuk Tempoh Operasi Keempat (OP4) dan Tempoh Operasi Kelima (OP5) bermula dari 2021 hingga 2024 disalurkan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Secara tidak langsung ia dapat membantu AKSB meningkatkan tahap perkhidmatan mereka. setakat ini, Kelantan mempunyai sejumlah 41 loji rawatan air yang menghasilkan bekalan air sebanyak 525.9 juta liter sehari (JLH).
“Manakala permintaan bekalan air di negeri ini sebanyak 587 JLH dan ini menunjukkan bahawa terdapat defisit sebanyak 61.1 JLH ,”katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan di Loji Rawatan Air Kampung Telok, Panji di sini hari ini.
Akmal Nasrullah memberitahu, secara amnya masalah bekalan air di negeri ini berpunca daripada pembinaan dan pembaharuan aset bekalan yang tidak seiring dengan pertumbuhan pembangunan.
Katanya, selain itu, sumber air yang tidak stabil dari segi kuantiti, kualiti serta tiada rizab margin turut menjadi penyumbang kepada masalah gangguan bekalan air atau tekanan air rendah di negeri ini.
“Kadar Air Tidak Berhasil NRW) yang tinggi iaitu sebanyak 53.7 peratus juga menyebabkan loji rawatan air sedia ada tidak berkeupayaan untuk merawat air yang mematuhi standard kualiti air minum kebangsaan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“SPAN telah menubuhkan ‘task force’ bekalan air Kelantan untuk memastikan pemantauan lebih rapi ke atas pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI), pelaksanaan projek sumber dan bekalan air, pemantapan program pengurangan kadar NRW, pematuhan indikator kualiti air oleh AKSB,”katanya.-UTUSAN