TENOM: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM225 juta bagi melaksana program pengedaran barang perlu, gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming di enam negeri di seluruh negara pada tahun ini.
Enam negeri yang terlibat adalah Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.
Menteri Pedagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM79.7 juta akan diperuntukkan kepada Sabah bagi pelaksanaan program tersebut di 654 pusat penjualan (PoS).
Beliau berkata, program itu melibatkan pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat-syarikat transporter yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan kawalan yang terpilih daripada pusat atau sumber bekalan kepada pusat penjualan (PoS) di kawasan pedalaman dan pulau.
“Ia bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman terpilih mempunyai akses kepada sejumlah barangan perlu khususnya barangan kawalan pada harga yang sama yang dinikmati oleh penduduk di kawasan lain.
“Malah, ia juga dapat membantu menstabilkan bekalan barang perlu dan kawalan di kawasan pedalaman. Melalui program ini, kos pengangkutan barangan ke kawasan pedalaman terpilih dibiayai oleh kerajaan,” katanya selepas lawatan ke pusat jualan di sekitar Tenom, semalam.
Tujuh jenis barangan yang terlibat dalam program berkenaan adalah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak, LPG (tong gas memasak), petrol RON95 dan diesel.
Mengulas lanjut katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang dalam dalam proses menambahbaik pelaksanaan program tersebut dengan mengambil kira tiga aspek penting iaitu tatacara perolehan, mekanisme kawalan dan pematuhan; serta penyasaran komuniti penerima bagi menangani ketirisan.
Amizan berkata, penambahbaikan tatacara perolehan melalui kaedah tender terbuka yang telah mula dirintis pada pertengahan tahun lalu akan dilaksanakan secara menyeluruh.
Menurut beliau lagi, dalam menangai isu penyeludupan, KPDN sedang melihat aspek penguatkuasaan dan pemakaian akta berkaitan yang boleh dikuatkuasakan di sempadan negara.