Kerajaan Pahang pantau penerokaan haram di Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Kerajaan Pahang pantau penerokaan haram di Cameron Highlands

WAN ROSDY Wan Ismail (depan, dua dari kanan) menunjukkan pokok spesies Albizia yang ditanamnya sempena Pelancaran Projek Penghutanan Semula Hutan Simpanan Kekal di Raub, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Kerajaan negeri akan memantau dari masa ke semasa kawasan penerokaan tanah haram yang menyebabkan kejadian tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands, Jumaat lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya kesal dengan kejadian tersebut kerana masih ada pihak tidak bertanggungjawab meneroka tanah secara haram di situ.

“Walaupun kita kawal, kita pantau dan bawa mereka ini (penceroboh) sampai ke peringkat mahkamah, tetapi masih ada lagi yang berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Jangka Panjang Tanaman Ladang Hutan oleh Amat Bayu Sdn. Bhd. di Kawasan Hutan Simpan Tersang di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan, lima warga Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) maut dalam kejadian tanah runtuh 26 Januari lalu di kebun sayur Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands.

Kebun seluas kira-kira 4.31 hektar itu diusahakan secara haram sejak lebih setahun lalu malah pernah disita Jabatan Perhutanan pada April tahun lalu selain pengusahanya turut pernah ditahan sebelum ini.

Tambah Wan Rosdy, kerajaan negeri begitu serius mengekang penerokaan tanah haram dengan tidak lagi mengenakan kompaun sebaliknya mengambil tindakan mahkamah.

“Kita tidak lagi kompaun tetapi bawa terus ke mahkamah. Bukan untuk mengaibkan atau memalukan tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada mereka yang membuat kerja-kerja yang tidak sihat ini.

“Kejadian ini sedikit sebanyak menjejaskan imej kerajaan negeri kerana kita pantau, namun bila buat secara haram ia di luar kawalan kita, negeri Pahang ini luas,” jelasnya.

Beliau berkata, setakat ini Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sudah pun menjalankan tugas dengan baik bagi menangani isu penerokaan tanah haram di negeri ini.

Menteri Besar berkata, jabatan berkenaan sentiasa membendung penerokaan tanah haram dan banyak juga kes- kes yang diambil tindakan bagi mereka yang memasuki kawasan hutan tanpa kebenaran.

Beliau berkata, tragedi tanah runtuh Jumaat lalu di Cameron Highlands yang mengakibatkan lima mangsa maut adalah amaran dan tanda risiko musibah lebih besar termasuk berkaitan bekalan air pada masa depan di kawasan peranginan itu.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah tidak dapat bersabar lagi apabila semakin banyak aktiviti pencerobohan berlaku seolah-oleh mereka mencabar kewibawaan kepimpinan kerajaan Pahang dan agensi penguatkuasaan.

“Tindakan tanpa kompromi dibawa ke mahkamah ini tanpa lagi kompaun adalah mesej keras kepada penceroboh hutan simpan dan sumber alam negeri,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya