KOTA BHARU: Kerajaan negeri serius menangani isu peniaga yang mengambil kesempatan menaikan harga sesuka hati sehingga membebankan pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024).
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, satu pertemuan dengan peniaga makanan termasuk premis-pemis ‘tular’ akan diadakan bagi membincangkan perkara tersebut.
“Pertemuan itu akan diaturkan pada minggu hadapan. Kerajaan negeri mengambil serius perkara ini (peniaga ambil kesempatan naik harga) selepas sering mendapat maklum balas dari pelancongan luar.
“Jadi saya harap semua pihak dapat memberikan kerjasama dengan tidak mengenakan harga yang melampau kepada pelancong,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama pengamal media Kelantan di sini malam tadi.
Kamarudin memberitahu, beliau khuatir jika sekiranya situasi itu terus berlaku berkemungkinan besar ia akan memberikan kesan tidak baik kepada industri pelancongan Kelantan.
Katanya, hal ini kerana perkara itu boleh membuatkan pelancong serik untuk berkunjung semula ke Kelantan disebabkan oleh tindakan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas itu berkata, sebanyak RM22.9 juta diperuntukan kerajaan negeri bagi menjayakan TMK.
Katanya, merangkumi pelbagai program berkait pembangunan pelancongan, kebudayaan, agropelancongan dan ekopelancongan.-UTUSAN