KOTA TINGGI: Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) diarahkan untuk menghasilkan mesin pam berkuasa tinggi untuk digunakan di kawasan-kawasan yang terlibat banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bagi mengatasi masalah kelewatan perolehan mesin pam yang masih belum diterima ketika ini.
“SIRIM juga telah saya minta keluarkan pam air berkuasa tinggi kerana tahun lalu kawasan di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat sudah luluskan pam-pam kuasa tinggi ini untuk dibekalkan.
“Oleh kerana pam-pam ini kena beli melalui tatacara pembelian kewangan, maka ia belum sampai. Oleh demikian saya minta SIRIM keluarkan produk tempatan dengan pam kuasa tinggi ini. Jadi, kita tidak perlu lagi import melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk membuat tempahan sebanyak 20 unit tambahan pam penapis air yang direka bentuk oleh SIRIM.
Katanya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga telah menerima sebanyak tiga pam penapis air berkenaan yang akan digunakan sebagai pam bergerak di kawasan yang terputus bekalan air.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan menerusi Nadma akan menyegerakan bantuan awal yang membabitkan dana khas RM50 juta kepada mangsa banjir yang terjejas di negeri ini.
Katanya, bantuan itu telah pun disalurkan kepada kerajaan negeri untuk diagih-agihkan kepada penduduk yang terkesan akibat bencana banjir.
“Nadma beri bantuan awal sebanyak RM50 juta kepada kerajaan negeri untuk pengagihan kepada mangsa banjir dan pengagihan ini mengikut senarai yang telah dibuat oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Banjir.
“Pembayaran segera seboleh-bolehnya sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing bagi mereka gunakan untuk pembersihan kawasan terjejas seperti perabot atau barangan dapur,” katanya.
Sehingga pukul 4 petang tadi ini, jumlah mangsa banjir di negeri Johor merekodkan sedikit peningkatan kepada 7,726 orang yang ditempatkan di 57 PPS berbanding 7,297 mangsa dicatatkan pada 12 tengah hari tadi. – UTUSAN