SEREMBAN: Kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat diyakini mempunyai perancangan terbaik mengenai hala tuju parti itu di Negeri Sembilan termasuklah berkaitan isu kedudukan jawatan Pengerusi PN negeri yang kini disandang oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan Pengerusi 2 PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, kepemimpinan PN pastinya akan membuat keputusan bijaksana mengenai perkara itu apatah lagi PN telah menunjukkan prestasi baik semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu sehingga berjaya memecah penguasaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
“Kita baru selesai menghadapi PRN empat bulan yang lepas dan selepas itu terlibat pula dengan beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini serta sesi parlimen berkenaan belanjawan. Sudah tentu kepemimpinan menumpukan kepada perkara yang lebih utama datang dahulu.
“Saya juga yakin pimpinan PN Pusat mempunyai perancangan lebih baik dan bijaksana dalam isu siapa yang harus mengetuai PN Negeri Sembilan memandangkan PN telah berjaya memenangi lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan malah 10 DUN tewas dengan majoriti bawah 700 undi,” katanya hari ini.
Beliau yang merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Rasah berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha yang meminta isu kedudukan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi PN negeri ini diselesaikan segera demi kelancaran gerak kerja parti itu.
Rafiei yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan menjelaskan, isu berkenaan kedudukan Ahmad Faizal itu timbul selepas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu tidak memainkan peranan sebaiknya selepas berakhirnya PRN Ogos tahun lalu.
Sementara itu, Mohamad Hanifah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu berkata, kenyataan Rafiei itu merupakan pandangan peribadi dan tidak mewakili PN Negeri Sembilan secara keseluruhan.
Menurutnya, selaku Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei boleh memanggil mesyuarat malahan dalam saluran suara pimpinan PN negeri, perkara itu tidak berbangkit.
“Sejak awal ketibaan Ahmad Faizal di Negeri Sembilan, beliau menyatakan hadir bagi membantu PN Negeri Sembilan bagi menghadapi PRN dan akan menyerahkan kembali jawatan dalam tempoh tertentu selepas PRN tamat.
“Saya dimaklumkan juga, Ahmad Faizal telah menyatakan hasrat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melepaskan kembali jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada anak tempatan,” katanya.-UTUSAN.