Kenyataan Peguam Negara henti prosiding tanpa  perlu beri alasan membimbangkan   - Utusan Malaysia

Kenyataan Peguam Negara henti prosiding tanpa  perlu beri alasan membimbangkan  

Kenyataan Peguam Negara sama ada yang memaklumkan badan itu boleh memulakan dan menghentikan prosiding di mahkamah tanpa perlu memberi alasan mengecewakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Peguam Negara bahawa badan itu  mempunyai kuasa untuk mendakwa dan tidak meneruskan prosiding jenayah tanpa perlu memberi alasan membimbang dan mengecewakan kerana badan itu  seolah-olah tiada akauntabiliti terhadap orang awam.

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, jika Peguam Negara tidak mempunyai kewajipan untuk memberi alasan kepada orang ramai seperti yang didakwa Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bermakna beliau tidak bertanggungjawab kepada orang ramai. 

“Untuk mencadangkan bahawa kuasa Peguam Negara tidak bertanggungjawab kepada orang ramai, adalah bertentangan dengan kedaulatan undang-undang dan jelas salah. Dalam demokrasi kita, tidak ada jawatan awam yang tidak tertakluk kepada penelitian dan akauntabiliti awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Peguam Negara yang memaklumkan badan itu mempunyai kuasa untuk mendakwa dan tidak meneruskan prosiding jenayah tanpa perlu memberi alasan kepada mana-mana pihak ketika  ucapan sulungnya sebagai Peguam Negara di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024 di Putrajaya.

Ahmad Terrirudin menekankan, bahawa pihaknya perlu dibenarkan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bertulis sedia ada tanpa gangguan luar.

Dalam pada itu, Zaid berkata, Mahkamah Persekutuan telah berulang kali memutuskan dalam kes yang diputuskan bahawa Peguam Negara tidak mempunyai budi bicara mutlak atau tidak terikat dalam memulakan atau menghentikan pendakwaan.

Katanya, perkara itu pernah ditekankan oleh Ketua Hakim Negara dalam kes Sundra Rajoo lawan Menteri Dalam Negeri & Lain-lain.

“Oleh itu, memandangkan budi bicaranya tidak terlepas, alasan mesti disediakan. Pelaksanaan tugas awam tidak boleh diselubungi dengan rahsia, bertentangan dengan kedaulatan undang-undang. 

“Tiada pegawai awam, sama ada Peguam Negara atau Perdana Menteri, boleh menggunakan kuasanya mengikut kehendaknya atau enggan mendedahkan alasannya. Untuk berbuat demikian akan menjadi despotisme, dan bukan demokrasi,” katanya.

Dakwa Zaid, kenyataan Peguam Negara itu seolah-olah sebagai reaksi terhadap kritikan umum pengguguran 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya