Kenderaan, minyak diesel bernilai lebih RM35,000 dirampas di Temerloh - Utusan Malaysia

Kenderaan, minyak diesel bernilai lebih RM35,000 dirampas di Temerloh

SEORANG pegawai penguatkuasa KPDN Temerloh memeriksa tong mengandungi minyak diesel tanpa kebenaran Pengawal Bekalan Malaysia di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Temerloh menahan seorang lelaki dan menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda beserta minyak diesel bernilai kira-kira RM35,521 dalam dalam Ops Tiris di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Daerah Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, penahanan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai penguatkuasa di sebuah stesen minyak sekitar Temerloh kira-kira pukul 1.45 tengah hari semalam.

Menurutnya, dalam operasi itu, anggota kementerian terbabit terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong di bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Dalam operasi itu, kita mendapati individu yang ditahan tersebut menggunakan surat kebenaran dari Pengawal Bekalan Malaysia yang sudah tamat tempoh bagi membeli barang kawalan iaitu minyak diesel.

“Penguatkuasa KPDN Temerloh menyita minyak diesel dan kenderaan serta dokumen yang terlibat di tempat kejadian dan nilai rampasan dianggarkan RM35,521,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, pada Jumaat lalu, KPDN Cawangan Temerloh turut menyita minyak diesel dalam Ops Tiris di stesen minyak di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini.

Tambah beliau, seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun ditahan dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM50,754.

“Ia membabitkan kira-kira 350 liter minyak diesel dan kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Tegasnya, KPDN Cawangan Temerloh memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

Tambah beliau, mana-mana individu atau peniaga yang melanggar peraturan ditetapkan bakal berdepan tindakan dan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya