PASIR MAS: Kerajaan Kelantan sedia memasang jaring bagi menggelakan kejadian terjun jambatan dari terus berlaku di negeri ini pada masa akan datang.
Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih lagi dalam perbincangan sebelum ia dilaksanakan.
Menurutnya, kerajaan negeri turut bersedia mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan untuk membina penghadang.
“Insya-Allah pada 5 Februari ini, kita akan adakan solat hajat di Jambatan Tendong. Solat hajat itu pada pukul 10 pagi.
“Kita dahulukan solat hajat untuk memohon kepada Allah agar kejadian terjun jambatan tidak lagi berlaku,” katanya pada pemberita selepas majlis Bantuan Banjir Sumbangan Yayasan Sultan Kelantan Peringkat Jajahan Pasir Mas di Dewan Apam Putra di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, JBPM Kelantan mencadangkan pembinaan penghadang dalam usaha membendung kejadian terjun sungai.
Cadangan itu disuarakan susulan 17 kes terjun jambatan di Kelantan telah direkodkan sejak 2021 hingga Januari tahun ini.
Terbaharu, seorang jurujual kosmetik, Norhisyam Ismail 43, dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jambatan Tendong pada 15 Januari lalu dan masih belum ditemukan sehingga kini.-UTUSAN