ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah bercadang memperkenalkan sewaan ruang udara bagi pemasangan papan iklan seperti dilakukan di beberapa negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, cadangan tersebut antara inisiatif bagi mengutip hasil sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Negeri lain mengenakan caj selain yuran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi Kedah masih belum kuat kuasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri di Dataran Wisma Darul Aman di sini, semalam.
Muhammad Sanusi memberitahu, sasaran RM1 bilion diyakini mampu dicapai meskipun anggaran hasil negeri bagi tahun depan seperti dinyatakannya dalam pembentangan Belanjawan Kedah 2024 hanyalah RM748 juta.
Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk memenuhi setiap keperluan rakyat, namun hasrat tersebut sukar direalisasikan sepenuhnya memandangkan kutipan hasil agak terhad.
Mengulas lanjut, ujarnya, antara punca pendapatan paling tinggi yang mampu mencecah lebih RM300 juta adalah penguatkuasaan undang-undang terhadap pelanggaran syarat tanah dalam pembinaan bangunan.
Sebagai contoh, jelasnya, terdapat bangunan atau struktur dibina 20 atau 30 tahun lalu yang melanggar peraturan termasuk pelan asal hingga mewujudkan tanah tidak berhasil buat kerajaan.
“Semua ini ada dalam peruntukan undang-undang, bukan kita main langgar saja. Kita akan laksanakan peringkat demi peringkat dan bukan hanya di Alor Setar, malah banyak bandar lain lagi,” katanya. – UTUSAN