Kebumi rangka seperti jenazah biasa - Utusan Malaysia

Kebumi rangka seperti jenazah biasa

MOHD. FARED Mohd. Khalid (dua dari kiri) menyerahkan bantuan mesin pencetak sumbangan PIJ kepada penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Rangka manusia tidak sempurna perlu disemadikan seperti jenazah biasa sekiranya benar milik individu beragama Islam. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, rangka itu perlu dimandikan, dikafankan dan dikebumikan seperti jenazah yang sempurna. 

“Pengurusannya adalah seperti biasa, macam uruskan mayat yang sebetulnya setakat mana tulang ditemui serta disatukan walaupun tidak sempurna,” katanya diminta mengulas penemuan rangka manusia tidak sempurna di Tongkang Pecah baru-baru ini. 

Mohd. Fared ditemui selepas menghadiri Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Perbadanan Islam Johor (PIJ) di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM, dekat sini hari ini. 

Sebelum ini,  polis menemukan rangka manusia tidak sempurna di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, dekat sini kira-kira pukul 2 petang Jumaat lalu. 

Penemuan rangka itu hasil panduan daripada salah seorang suspek utama kes kehilangan seorang ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 32, sejak 14 Disember tahun lalu. 

Dalam pada itu, Mohd. Fared memaklumkan seramai 147 penuntut UTHM tahun pertama program diploma dan ijazah daripada golongan B40 anak-anak Johor terpilih untuk menerima bantuan mesin pencetak menerusi MoU yang  dikendalikan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) dengan PIJ tersebut.

PIJ menyalurkan dana sebanyak RM44,100 dalam bentuk mesin pencetak melalui Kumpulan Fokus Penyelidikan Succeed, PPUK dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM.

“Saya berharap kerjasama seumpama ini dapat memberi manfaat berterusan bukan sahaja kepada UTHM dan PIJ, malah kepada pelajar dan masyarakat khususnya di negeri Johor,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya