SEREMBAN: Taktik sindiket menggunakan dokumen pesanan penghantaran dan label cukai palsu dengan tujuan mengaburi mata pihak berkuasa bagi tujuan mengedarkan rokok putih di pasaran berjaya ditumpaskan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ia apabila jabatan itu mematahkan kegiatan sindiket itu dalam operasi membabitkan nilai cukai hampir RM4.2 juta menerusi penahanan sebuah lori bonded 10 tan yang dipandu oleh seorang warganegara tempatan berusia 20-an berhampiran dengan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gombak, Selangor pada 14 Januari lalu.
Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, operasi oleh dua pasukan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan pada pukul 3.30 petang itu dilakukan atas maklumat yang diterima.
“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh pasukan ke atas lori tersebut telah menjumpai sejumlah 275,000 peket bersamaan dengan 5.5 juta batang rokok putih. Kesemua peket rokok yang dijumpai mempunyai label cukai palsu dan disyaki barangan Larangan Import Di Bawah Butiran 1, Bahagian lI, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Berikutan itu, kesemua barang eksibit bersama satu unit lori bonded jenis Nissan telah disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan dibawa balik ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut, ” katanya pada sidang akhbar di Seremban hari ini.
Beliau berkata, jumlah nilai keseluruhan rokok yang disita termasuk cukai dan lori adalah dianggarkan RM4,164,000.
Mohammad Hafiz memberitahu, modus operandi sindiket adalah rokok diseludup yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand dengan menggunakan kenderaan seperti lori bonded yang bersil.
“Sindiket akan menggunakan dokumen delivery order dan label cukai yang palsu dengan niat mengaburi mata pihak berkuasa bagi tujuan mengedarkan rokok rokok tersebut ke pasaran tempatan terutamanya di Lembah Klang untuk dijual pada harga yang murah,” katanya.
Beliau berkata, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967; dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976.
Mohammad Hafiz turut menyifatkan rampasan tersebut adalah yang terbesar setakat ini bagi JKDM negeri dan sekiranya dinilai rokok tanpa cukai daripada kes rampasan rokok putih tersebut dianggarkan berjumlah RM400,000.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan JKDM percaya terdapat saki baki ahli terlibat dalam sindiket yang lebih setahun aktif ini,” katanya lagi.-UTUSAN.