PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan tindakan yang dikenakan berkait isu kartel beras dibuat berpandukan kepada hasil siasatan.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, siasatan itu penting untuk melihat samaada dakwaan yang dibuat itu betul atau sebaliknya.
“Siapapun boleh membuat tuduhan, sebab itulah kita (KPKM) akan melakukan siasatan bagi menentukan samaada benar atau sebaliknya.
“Dalam isu kartel ini, kalau ada laporan…kita akan ambil tindakan dengan menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Projek SMART SBB Ala Sekinchan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di bendang Tok Ajam, di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, KPKM sama sekali tidak akan campur tangan dan memberikan kebebasan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Katanya, sebelum ini dakwaan berkait dengan kartel telur dan ayam sudah diambil tindakan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, KPKM menerusi Kawalselia Padi dan Beras sedang bekerjsama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat isu kartel yang didakwa menekan nasib pesawah.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MyCC memerlukan sedikit masa bagi memahami dan mempelajari tentang keseluruhan rantaian dalam industri padi dan beras negara.-UTUSAN