KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan ibunya tercampak selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah bas ekspres di Jalan Kuantan-Pekan di sini hari ini.
Akibat kemalangan itu, kanak-kanak terbabit, Muhammad Aakif Rifqi Mohamad Yushaimee cedera di bahagian tangan, badan dan kepala manakala ibunya, Junaidah Hussain, 43, cedera di tangan, lutut dan kaki.
Muhammad Aakif Rifqi dirawat di zon merah, wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini manakala ibunya di zon kuning wad kecemasan hospital yang sama.
Pemandu bas terbabit, Zulkiflee Yusoff, 41, tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal terbabit keluar dari simpang sebelah kiri dah terus mengubah ke lorong kanan.
“Ketika kejadian, bas tanpa penumpang yang menghala ke Johor Bahru itu tidak sempat mengelak memandangkan jarak motosikal terlalu dekat hingga menyebabkan berlaku pelanggaran,” katanya di sini.
Dalam pada itu, tular rakaman video berdurasi satu minit 21 saat menerusi laman sosial WhatsApp yang memaparkan kejadian dua beranak terbabit tercampak dalam kejadian kemalangan tersebut.
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca dari penunggang motosikal yang mengubah lorong dari lorong kiri ke kanan tanpa memastikan keadaan selamat terlebih dahulu hingga menyebabkan kemalangan berlaku.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN