JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemukan lemas dipercayai terjatuh ke dalam parit di Lorong Cempaka, Kampung Sungai Tiram, dekat sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II, Rafie Ahmad Sareng berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian tersebut pada pukul 7.07 malam.
Seramai 14 anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati seorang kanak-kanak telah terjatuh ke dalam parit dan dihanyutkan arus deras. Usaha pencarian dilakukan sambil dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
“Kanak-kanak berkenaan dikatakan bermain di atas jalan berhampiran tepi parit yang terletak di kawasan rumah sebelum terjatuh ke dalam parit.
“Mayat mangsa kemudiannya ditemukan tersangkut di pangkal sebatang pokok kelapa sawit pada pukul 10.30 malam. Jarak mangsa ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 12.16 tengah malam. – UTUSAN