PETALING JAYA: MCA tidak rela membisu atau menjadi pak turut kepada mana-mana pihak sebaliknya akan terus berperanan sebagai semak dan imbang kepada dasar-dasar kerajaan dengan menegur secara konstruktif.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, beliau mempunyai hak dan tanggungjawab untuk bersuara di dalam atau di luar Dewan Rakyat meskipun perlu menegur mana-mana kementerian tentang sesuatu dasar demi kebaikan rakyat dan negara.
“Lagipun ketika ini tiada pula ahli Parlimen keturunan Cina dari blok pembangkang untuk memberi semak dan imbang.
“Kalau bukan MCA, siapa lagi? Apa jua dasar baik kerajaan yang memanfaatkan rakyat, MCA pasti akan sokong 100 peratus.
“Bagi dasar yang memberi impak negatif kepada rakyat, MCA rasa terpanggil untuk bersuara meskipun DAP memandang remeh hanya dua wakil MCA di dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa MCA agak ‘sesat’ berikutan sering kali menjadikan dirinya dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai sasaran kritikan walhal MCA mempunyai dua ahli Parlimen sahaja. – UTUSAN