KUBANG PASU: Kajian klinikal dalam bidang perubatan di Uzbekistan melibatkan produk-produk keluaran Gano Excel yang berasaskan ganoderma lucidum atau dikenali sebagai cendawan merah dalam kalangan masyarakat Melayu membawa hasil menakjubkan.
Pengasas dan Presiden Kumpulan Gano Excel, Leow Soon Seng berkata, kajian tersebut rentetan daripada memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara pihaknya dengan Kementerian Kesihatan Uzbekistan pada Februari tahun lalu.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Uzbekistan melalui Pusat Pembangunan Kelayakan Profesional Pekerja Perubatan telah menjalankan kajian klinikal melibatkan bidang gastroenterologi, neurologi, kardiologi, pulmonologi dan dermatologi.
“Mereka menggunakan produk-produk keluaran Gano Excel berasaskan ganoderma lucidum untuk mengumpulkan fakta-fakta lebih kukuh tentang manfaatnya terhadap kesihatan manusia.
“Walaupun boleh dikatakan masih di peringkat awal tetapi hasilnya cukup menakjubkan. Perkongsian secara terperinci mengenai dapatan kajian berkenaan akan dibuat di Seminar Antarabangsa Perubatan Tradisional dan Perubatan Komplimentari di sini,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Seminar selama dua hari anjuran Gano Excel itu julung kali diadakan melibatkan pakar-pakar dari Kementerian Kesihatan Uzbekistan serta Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM).
Turut serta dalam seminar itu ialah Pengarah Pusat Pembangunan Kelayakan Profesional Pekerja Perubatan Kementerian Kesihatan Uzbekistan, Profesor Dr. Akilov Khabibullo Ataullaevich; Pengarah IPPT USM, Profesor Dr. Tunku Kamarul Zaman
Tunku Zainol Abidin dan Ketua Pengarah Gano Shifo di Uzbekistan, Laziza Akbarova.
Tambah Soon Seng, matlamat utama mereka adalah memastikan kebaikan ganoderma lucidum diketahui orang ramai melalui sokongan penyelidikan perubatan atau kajian klinikal yang lebih tepat berbanding cakap-cakap biasa.
“Ketika memulakan perniagaan 20 tahun lalu, kami memperkenalkan generasi pertama produk Gano Excel. 10 tahun kemudian produk generasi kedua, dan hari ini produk generasi ketiga menggabungkan ekstrak konvensional dengan aspek bioteknologi.
“Kami harap dengan menggunakan sains perubatan moden ini dapat membuktikan kebaikan ganoderma lucidum untuk meyakinkan lebih ramai pengguna hasil kajian klinikal yang kukuh serta sokongan hebat daripada para pakar dan profesional perubatan,” katanya.
Sementara itu, Akilov Khabibullo berkata, pemantauan kajian klinikal yang dijalankan pihaknya dalam tempoh hampir setahun ini dilakukan dengan teliti dan mengutamakan keselamatan serta kesihatan peserta bagi mendapatkan keputusan yang kukuh.
Dalam pada itu, Gano Excel turut menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama IPPT USM bagi menjalankan kajian klinikal mengenai keberkesanan ganoderma lucidum terhadap penyakit kanser payu dara tahap II dan tahap III. – UTUSAN