JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus bertambah apabila seramai 7,959 orang ditempatkan di 52 buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 12 tengah hari ini.
Situasi itu menunjukkan peningkatan seramai 1,395 mangsa berbanding 6,564 orang ditempatkan di 51 PPS pada pukul 8 pagi tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, ketika ini mangsa banjir melibatkan 2,203 buah keluarga di enam daerah, iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Segamat, Kluang, Pontian dan Kulai.
“Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas ketika ini dengan seramai 4,265 mangsa dipindahkan ke 25 buah PPS, diikuti Johor Bahru dengan seramai 1,829 mangsa di 10 PPS.
“Kluang menyaksikan seramai 1,705 mangsa ditempatkan di 14 PPS, Kulai seramai 86 mangsa di sebuah PPS, Segamat seramai 54 mangsa di sebuah PPS dan Pontian seramai 17 mangsa di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor turut memberitahu, banjir di negeri ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa setakat ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada di seluruh negeri sepanjang hari ini.
“Enam sungai di negeri ini telah mencapai paras air berbahaya, iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang; Sungai Siam di Kampung Siam, Kulai serta Sungai Linggiu, Sungai Kepala Orang dan Sungai Johor di Kota Tinggi,” ujarnya.
Azmi turut memberitahu, ketika ini empat laluan masih ditutup sepenuhnya, iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang dan Jalan Tai Hong di Kota Tinggi serta Jalan Maju Jaya-Seelong di Johor Bahru dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat. – UTUSAN