BESUT: Seorang bekas kerani mampu meraih pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan hasil jualan ikan kering separa masak dikenali ikan bekok di Kampung Padang Luas, di sini, pada musim tengkujuh ini.
Siti Nurhidayah Mohd. Seman, 37, yang merupakan ibu tunggal berkata, dia mula berjinak-jinak dengan perniagaan hidangan pembuka selera itu sejak tahun 2019.
Katanya, idea menjalankan perniagaan tersebut secara sepenuh masa tercetus selepas dia kehilangan kerja ketika pandemik Covid-19 pada 2022.
“Tak sangka pula jualan ikan bekok mendapat sambutan dan saya mampu memproses kira-kira 30 kilogram ikan segar dalam masa seminggu.
“Pada masa ini, ikan bekok menjadi pembuka selera tanpa mengira musim terutama ketika musim hujan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Luas di sini, semalam.
Siti Nurhidayah memberitahu, dia membeli stok ikan gelama serta ikan cencaru untuk diproses menjadi ikan bekok di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut.
“Saya akan menyiang ikan untuk membersihkannya sebelum ikan itu direndam di dalam air garam semalaman, kemudian direndam air biasa bagi mengurangkan rasa masinnya.
“Selepas itu barulah ikan itu dijemur selama tiga hingga lima jam, bergantung kepada keadaan cuaca. Ikan itu kemudian dibungkus untuk dimasukkan ke dalam peti sejuk bagi membolehkan penyimpanan lebih lama,” katanya.
Katanya, dia menjual ikan bekok pada harga RM35 sekilogram ikan gelama manakala ikan cencaru pula RM30 sekilogram.
Menurut Siti Nurhidayah, hasil pendapatan menjual ikan bekok itu, dia menyara dua anaknya berusia sembilan hingga 12 tahun yang masih bersekolah.